Ya Allah, ampunkan segala dosa hambaMu ini. Sesungguhnya hambaMu ini jahil atas segala perbuatan dosa yang pernah dilakukan dahulu. Hati merintih tatkala melafaz doa memohon keampunan daripada Tuhan. Sayu
dan menyesal mengenangkan dosa-dosa silam yang pernah dilakukan oleh hamba yang telah insaf. Allah Maha Pengampun. Walau sebanyak mana pun dosa yang dilakukan oleh hamba-hambaNya, dengan rahmat dan sifatPenyayangNya, Dia akan mengampunkan. Sebagai hamba, hanya taubat
dapat menghapus segala dosa.
Ujian Tuhan datang dengan pelbagai cara. Tidak kira sama ada kita diuji dengan keseronokan atau dengan kesedihan. Sebagai hamba yang beriman, doa adalah senjata. Allah juga tidak akan menguji hambanya
dengan beban yang sangat berat sehingga tidak mampu ditanggung. Itulah janji Allah dalam Al-Quran,(maksudnya): “ Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Dia
mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan dia mendapat seksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa):”Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami bersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankankan kepada
kami apa yang tak sanggup kami menanggungnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami… (Surah Al-Baqarah :286).
Setiap ujian itu ada sebabnya. Allah sentiasa menguji hamba-hambaNya untuk meningkatkan keimanan dalam diri. Allah tidak hanya membiarkan hamba-hambaNya dibiarkan selesa dengan mendakwa mereka telah beriman
sedangkan ujian belum ditimpa kepada mereka. Firman Allah (maksudnya): “Apakah manusia mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami beriman,” dan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang yang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang yang benar dan pasti mengetahui tentang orang yang berdusta.” (Surah al-’Ankabut, ayat 2-3).
Naluri hamba kepada Tuhannya. Tatkala dihimpit dengan kesempitan hidup, terbeban dengan segala masalah,sakit walau sedikit, mengalami kesukaran, panik dengan perkara yang mencemaskan, secara fitrahnya
fikirannya akan ingat kepada Tuhan. Hamba, tidak mempunyai sebarang kekuatan pun melainkan hanya Allah yang memberi segala keupayaan.
Hanya dengan mengingati Allah, jiwa akan menjadi tenang. Hal inilah yang difirmankan dalam kalamNya yang mulia iaitu Al-Quran (maksudnya ) “Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan
mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati
menjadi tenteram. (Surah al-Ra`d:28)
Alangkah indah hidup mendapat kasih sayang dan reda Allah. Mendapat ketenangan hanya mengingati Allah. Dapat menyelesaikan masalah dengan pertolongan Allah. Tatkala terjatuh, nama Allah yang disebut. Ketika
sakit, bergantung penuh kepada Allah untuk menyembuhkan. Kehidupan ditempuh dengan mengharapkan rahmat daripada Allah. Segala-galanya tidak putus daripada tali Allah yang dihulurkan kepada setiap hamba
yang senantiasa patuh dan tunduk dengan perintahNya. Sebagai hamba yang taat, tidak mungkin dia terlupa dengan doa dan ikrar yang dilafazkan setiap kali solat .(maksudnya) “Kepada Engkau kami sembah
dan kepada Engkau jua kami memohon pertolongan.Tunjukkanlah kami jalan yang lurus. Jalan orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka dan bukan (jalan) yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang
sesat”. (Surah Al-Fatihah : 5-7)
Kesilapan, dosa, kelemahan dan ketidaksempurnaan akan sentiasa membelenggu setiap hamba. Ditambah pula dengan godaan syaitan dan nafsu yang sentiasa mengajak melakukan dosa, maka hamba yang lemah akan hanyut. Namun, sebaik-baik hamba, hamba yang bertaubat atas segala dosa seperti sabda Rasulullah (maksudnya) :“Semua anak Adam itu melakukan kesalahan. Sebaik-baik pelaku kesalahan itu ialah mereka
yang bertaubat” (Riwayat Ahmad, al-Tirmizi dan Ibn Majah)
Sebagai manusia kita tidak sunyi daripada melakukan dosa. Namun yang pentingnya ialah menyesal dengan segala kesilapan yang pernah dilakukan,tinggalkan segala perbuatan dosa tersebut dan berazam tidak
mengulanginya lagi. Mohon ampunlah kepada Tuhan.Semoga Allah mengampunkan.
Saat lidah melafaz ampun, hati merintih pilu dan jiwa yang tulus memohon kemaafan Tuhan, maka air mata berlinangan tanda penyesalan yang teramat sangat seiring perasaan takut akan penyeksaan daripada Allah akibat dosa jika tidak diampunkan. Mudah-mudahan air mata ini yang memadamkan api neraka yang mahu membakar diri.
(Istighfar) : ASTAGHFIRULLAHAL\'AZIM, ALLAZI LA ILA HA ILLA HUAL HAYYUL QAYYUMU WA ATU BU ILAIH.(maksudnya):\"Aku memohon ampun kepada Allah Maha Besar, yang tidak ada Tuhan selain DIA, yang hidup dan
selalu jaga, dan aku bertaubat padaMU\".
kami nak latest entry.. kalo tak nanti kami buat demo mcm bersih tu.. :D
ReplyDelete