Animated Dragonica Star Glove Pointer

Sunday, 6 May 2012

Dihimpit makhluk seakan orang utan


Hari ini Milah terpaksa menggantikan rakannya yang demam untuk memeriksa peralatan makmal di kolej tempatnya bekerja. Rutin ini sebenarnya sudah menjadi kebiasaannya setiap minggu. Bilangan pelajar yang terlalu ramai menggunakannya memaksa rutin ini dijalankan setiap minggu. Ini kerana, sudah banyak kali peralatan makmal berkurangan sedikit demi sedikit sehingga sukar untuk melengkapkan kajian tanpa peralatan sepatutnya.

Setelah memeriksa peralatan makmal di blok berkenaan, Milah berjalan menuju ke blok berdekatan pejabatnya. Di sana, masih ada beberapa makmal yang masih belum diperiksa lagi. Sambil menoleh memeriksa jam di tangannya, Milah mengeluh. Sudah hampir 3 jam dia di situ. Seharusnya, dia pulang awal pada malam ini kerana ibunya meminta dia membawanya ke pasar raya  untuk membeli barang-barang dapur. Terpaksa pula Milah meminta tolong daripada dua adiknya supaya menemani ibunya.

Seperti biasa, Milah memeriksa setiap laci di dalam makmal itu dan memastikan kelengkapan peralatan di setiap laci masih ada. Begitu juga dengan peralatan serta bahan-bahan uji kaji yang terdapat di bilik persediaan makmal. Semuanya masih berada dalam keadaaan baik. Selesai memeriksa, Milah duduk di meja untuk melengkapkan beberapa borang dan menandatanganinya sebagai bukti semuaanya sudah diperiksa. Sedang asyik menulis, tiba-tiba bulu romanya meremang. Terasa sejuk sekali udara di belakangnya. Milah  cuba menoleh, tetapi kepalanya berat sehingga tidak mampu untuknya menoleh.

Melalui ekor matanya, Milah memandang ke kanannya. Tersirap darahnya melihat lembaga seperti di dalam bungkusan berdiri di sebelahnya. Milah memejamkan matanya untuk memastikan apa yang dilihatnya. Namun, nyata Milah tidak bermimpi. Lembaga itu kini sudah benar-benar berada di sebelah kanannya sambil cuba menunduk mendekatinya.

Milah cuba bergerak,tetapi tidak semena-mena ada sesuatu menyentuh tangan kirinya. Bagaikan mahu menangis tatkala matanya melihat ada tangan lain yang menyentuhnya. Sejuk, bagaikan daging beku yang baru dikeluarkan di dalam peti sejuk. Itulah yang Milah rasakan.

Anak matanya melirik ke kiri dan alangkah terkejutnya, makhluk seakan orang utan yang begitu besar menggenggam erat tangannya. Milah kaku. Hendak menjerit, lidahnya kelu. Bagaikan ada sesuatu yang menyekat suaranya daripada keluar. Hendak bangun dan melarikan diri, tangannya dipegang erat, kakinya pula bagaikan dipaku.

Milah tidak tahu untuk berbuat apa lagi. Milah tunduk dan memejamkan matanya sekuat hati. Entah apa-apa doa dan surah-surah pendek dibacanya, Milah sendiri tidak pasti. Hatinya berkata supaya bertenang agar dia dapat mengingati surah-surah pendinding diri, namun akalnya tidak mampu melakukannya.

Peluh dingin yang sedari tadi memercik perlahan kini laju menuruni pipinya. Milah sudah menangis. Tiada siapa yang dapat membantunya. Hanya dia sendirian menangani dua makhluk yang mengganggunya. Tiba-tiba, hilaian panjang dan menyeramkan menerjah ke telinganya. Menggigil dan lemah seluruh anggota tubuhnya.

Peliknya, serta-merta sahaja ringan kepalanya mendongak. Namun, apa yang dilihatnya lebih menakutkan. Kelibat lembaga wanita berpakaian serba putih dengan muka yang hodoh lagi menyeramkan kini berada di hadapannya.

Entah dari mana datang kudratnya, Milah menjerit sambil dirinya bingkas bangun berlari meninggalkan makmal itu. Milah berlari sambil sesekali menoleh ke belakang memastikan dirinya dapat melepaskan diri dari gangguan ketiga-tiga makhluk itu.

Tanpa disedari, kaki Milah tersadung batu pada pasu bunga di koridor blok makmal itu membuatkan dirinya hampir-hampir terjatuh. Milah masih terus berlari, sambil menangis melolong. Air mata yang berjuraian mengaburkan pandangan matanya sehingga Milah terlanggar dinding. Milah jatuh tidak sedarkan diri.

"Mak, tolong Milah mak. Tolong Milah mak. Ada hantu!" Milah melolong kuat. Bertambah kuat lolongan Milah bila merasakan tangannya digenggam erat dan pipinya pedih bagaikan ditampar.

Suara ibunya membangunkan Milah. Milah memberanikan diri membuka mata. Dilihat, ibunya dan dua adik-adiknya berada di sisi. Milah berada di hospital. Sudah 3 ari Milah tidak sedarkan diri selepas berlakunya 'insiden' itu. Menurut ibunya, dia dijumpai pengsan dengan luka di dahi akibat terhantuk di dinding.

Selepas sembuh, Milah kembali bekerja walau perasaannya berbelah bahagi. Namun, selepas insiden itu diceritakan, rutin itu tidak lagi dijalankan selepas kerja, tetapi dijalankan dua jam sebelum habis waktu pejabat oleh semua pembantu makmal. Ini dilakukan untuk mengelakkan kejadian gangguan seperti itu berlaku lagi.

~Sekian~

No comments:

Post a Comment