Animated Dragonica Star Glove Pointer

Tuesday 19 July 2011

Penyakit Sinus / Resdung

ADAKAH hidung anda sering gatal-gatal, kerap bersin, berhingus dan berkahak terutama pada waktu pagi serta mata sering berair? Jika ya, segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan rapi kerana anda mungkin menghadapi masalah resdung atau sinusitis. Walaupun ia boleh dirawat, pengesanan penyakit pada peringkat awal akan memudahkan lagi proses pengubatan. Lagipun, resdung pada peringkat parah bukan sahaja memerlukan pembedahan, malah ia mungkin membawa kepada penyakit lain yang lebih serius seperti barah. 


Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Dr. Isa Rejab berkata, masalah resdung berpunca daripada alahan terhadap habuk, kutu dan pijat atau makanan tertentu. Katanya, kegagalan merawat alahan itu akan membawa kepada gejala resdung dan penyakit-penyakit yang lebih merbahaya di dalam rongga sinus. Resdung bukan penyakit tetapi gejala penyakit yang mesti diselidiki dengan tepat untuk mengetahui penyebab bagi rawatan yang sepatutnya.

Berdasarkan ujian ke atas daging yang dikeluarkan daripada rongga sinus beberapa pesakit resdung, ada yang disahkan penyakit TB, kanser, kulat, virus dan bakteria,''katanya semasa menyampaikan ceramah di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Menurut beliau, apabila seseorang mengalami alahan, daging yang bertindak sebagai penapis udara di dalam hidung akan membengkak. Katanya, daging atau dinding luar dan dalam hidung yang bengkak akan menyebabkan pergerakan udara serta pengeluaran cecair tidak berlaku secara normal. Malah, jangkitan resdung boleh merebak ke bahagian otak dan mata yang akhirnya menyebabkan seseorang menjadi buta.

Untuk mengesan pesakit resdung, kaedah endoskopi digunakan yang mana tiub kecil dan sumber cahaya akan dimasukkan ke dalam lubang hidung sehingga ke rongga sinus. Ia membolehkan pemeriksaan yang lebih teliti dijalankan bagi mengetahui apa sebenarnya yang terdapat di dalam rongga sehingga membawa kepada gejala resdung. Jika hingus di dalam ruang sinus sudah menjadi pekat dan basi, tiub akan dimasukkan untuk mencuci dan menyedutnya keluar. Pada peringkat yang lebih serius, pembedahan kecil terpaksa dilakukan yang mana bibir atas di potong untuk keluarkan daging yang tersumbat di dalam sinus,'' katanya.

Tambah Dr. Isa, bahan yang dikeluarkan daripada ruang sinus akan dihantar ke makmal untuk pemeriksaan lanjut. Sementara itu, kata Dr. Isa, sebanyak 90 peratus daripada alahan ini pula disebabkan apa yang ada di rumah seperti di bawah selimut, bantal, tilam dan binatang peliharaan. Di samping itu, katanya, sesetengah orang pula alah pada bedak herba, ubat-ubatan, buah-buahan seperti nanas, epal, tomato, badam dan lain-lain.

Bagaimanapun, katanya resdung tidak berjangkit kepada orang lain melalui bersin serta tidak diwarisi daripada ayah atau ibu kepada anak. Tetapi, masalah alahan boleh diwarisi secara genetik dan membawa kepada resdung apabila ia tidak dirawat dengan betul.

Untuk mengatasi masalah alahan, amalkan petua berikut:

1) Elakkan membela binatang berbulu dalam rumah seperti kucing, arnab dan anjing.

2) Elakkan menggunakan kain selimut yang dibuat daripada bulu binatang, sebaliknya, gunakan selimut yang diperbuat daripada bahan-bahan sintetik (tiruan).

3) Elakkan menggunakan tilam dan bantal yang dibuat daripada bulu binatang. Selalu basuh sarung tilam/bantal dengan air panas untuk membunuh pijat/serangga dan membuang habuk sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

4) Gunakan pembersih hampa gas yang baik dan mempunyai penapis yang baik

5) Kurangkan penggunaan permaidani dan set sofa yang dibuat daripada barang-barang kain atau bulu.

6) Berhati-hari bagi pengguna katil di tingkat bawah kerana anda akan menyedut segala habuk dari tilam di atas.

7) Selalu basuh barang permainan yang lembut.

 Simpan pakaian di dalam almari yang tertutup.

9) Elakkan penggunaan tirai langsir yang berat dan banyak kain. Selalu cuci kalau menggunakan penapis nyamuk pada tingkap.

10) Gunakan kain yang lembap untuk mengelap barangan alat perkakas rumah.

11) Amalkan menggunakan penutup hidung semasa mengemas rumah/perabot.

12) Elakkan memakan makanan yang ada alah padanya.



--------------------------------------------------------------------------------


Penyakit Resdung
Alahan (Resdung atau *resah hidung*) ialah satu fenomena di mana seseorang menjadi alah (alergi) kepada pelbagai agen persekitaran. Debu, habuk atau biji-biji debunga, tumbuh-tumbuhan selalu dikaitkan dengan kejadian alahan ini.

Beberapa agen lain yang boleh menyebabkan alahan termasuk pelbagai jenis

1. bijirin,
2. bulu binatang serta beberapa bahan pelarut kimia.
3. Asap rokok,
4. habuk kapur tulis,
5. debu tanah dan udara yang tercemar merupakan beberapa agen yang boleh menyebabkan seseorang mengalami alahan.

Kita juga sering mendengar terdapat orang yang alah kepada beberapa jenis makanan dan ubat-ubatan. Ada pula individu yang menjadi alah kepada suhu yang terlalu sejuk. Andai mereka terdedah kepada keadaan yang sedemikian, gejala-gejala alahan akan timbul.

Tetapi tidak semua orang akan menjadi alah kepada agen-agen ini. Ia bergantung kepada individu itu sendiri. Terdapat individu yang mempunyai daya ketahanan yang tinggi terhadap agen-agen tersebut. Bagi mereka yang hipersensitif (keadaan di mana daya ketahanan yang terlalu kurang) pendedahan kepada agen-agen ini boleh menimbulkan masalah lain seperti lelah atau asma. Ini kerana alahan dan asma boleh disebabkan oleh agen yang sama.

Lebih satu pertiga daripada pesakit yang mengalami alahan mempunyai kemungkinan yang besar untuk mengalami asma. Ada juga yang mewarisi ciri-ciri alahan ini daripada keluarga. Gejala atau tanda seseorang itu mengalami alahan akan timbul setelah beberapa minit membran mukus hidung terdedah kepada sesuatu agen. Keadaan ini akan memulakan satu tindakan antigen-antibodi dan keradangan.

Antara gejala-gejala yang kelihatan ialah:

1. hidung tersumbat dan berair,
2. gatal-gatal hidung dan bersin yang berulang.

Dalam keadaan alahan biasa, rembesan hidung yang pekat dan bernanah tidak mungkin berlaku kecuali terjadi jangkitan. Seseorang mungkin akan kehilangan deria bau dan rasa apabila hidung tersumbat berterusan.

Rawatan dan Pencegahan

Dalam kebanyakan kes alahan, langkah awal rawatan ialah dengan menjauhkan pesakit terhadap pendedahan berterusan kepada agen terbabit untuk menghalang tindak balas immunologi tubuh terhadap agen-agen tersebut.

Bagaimanapun, keadaan menjadi sukar sekiranya seseorang itu menjadi alah kepada lebih daripada satu agen kerana sebagaimana yang diketahui terdapat banyak agen yang terkandung di dalam persekitaran termasuk dalam makanan.

Rawatan perubatan yang digunakan dalam menangani masalah alahan ini lebih tertumpu kepada mengurangkan atau menghalang kesan-kesan tindak balas immunologi yang telah berlaku.

Dalam kes yang serius, tahap keupayaan pendedahan seseorang dapat dipertingkatkan dengan mendedahkan pesakit kepada agen-agen secara terapeutik.

Namun rawatan secara terapi-immuno ini bukanlah menjadi kemestian bagi setiap individu yang mengalami alahan.

Sekiranya seseorang itu mengalami gejala alahan yang ringan dan boleh dikawal dengan menggunakan ubat-ubat tertentu, rawatan secara terapi-immuno ini tidak dicadangkan.

Sebaliknya mereka yang mengalami gejala alahan yang teruk dan sukar dikawal, rawatan sebegini mungkin boleh dipertimbangkan.

Antihistamin

Selain daripada rawatan terapi-immuno, antihistamin adalah antara ubat berkesan untuk merawat dan melegakan gejala-gejala alahan ini. Ia merupakan agen-agen kimia yang bertindak dalam badan dengan menghalang tindakan histamin ke atas tapak-tapak reseptor. Dengan itu kesan yang mungkin disebabkan oleh tindakan histamin akan dapat dikurangkan.

Beberapa contoh ubat antihistamin ialah:

1. difenhidramin,
2. klorofeniramin,
3. bromfeniramin,
4. prometazin dan doksilamin.

Ubat-ubatan ini sering dicadangkan untuk digunakan dalam kes-kes

1. alahan,
2. selsema,
3. batuk dan
4. asma.

Walaupun antihistamin tidak dapat menghalang selsema secara khusus, ia banyak digunakan dalam persediaan ubat selsema kerana keupayaannya mengurangkan aliran mukus. Ini akan dapat melegakan hidung berair.

Beberapa kesan sampingan seperti tekanan terhadap sistem saraf pusat dan mengantuk, mungkin mendatangkan masalah apa lagi sekiranya ubat-ubat ini diambil melebihi dos yang dicadangkan. Bagaimanapun terdapat beberapa sediaan antihistamin yang mempunyai kurang kesan mengantuk.

Ubat-ubat antihistamin juga boleh menyebabkan

1. mulut terasa kering,
2. gangguan penglihatan dan
3. sembelit jika diambil pada dos yang tinggi.

Amnya, antihistamin mempunyai terapeutik indeks yang tinggi dan kesan sampingan jarang berlaku pada orang dewasa. Sebahagian pakar perubatan mendapati berlaku toleransi terhadap penggunaan antihistamin. Namun pesakit boleh bertukar kepada ubat antihistamin yang lain.

Pada dos yang dicadangkan, ubat-ubat yang mengandungi antihistamin adalah selamat untuk kanak-kanak. Kesan toksik ubat antihistamin pada kanak-kanak yang disebabkan oleh dos yang berlebihan adalah

1. rasa gembira,
2. pergerakan yang tidak teratur,
3. kejang otot,
4. sawan dengan pembesaran anak mata dan
5. merah kulit.

Pada masa yang sama kesan pengambilan alkohol dan ubat-ubata penindas sistem saraf pusat yang lain akan ditingkatkan oleh histamin. Oleh itu, sekiranya pengambilan ubat-ubat ini perlu diberikan secara serentak, perhatian harus diberikan terhadap kesan mengantuk yang berlebihan. Perkara ini adalah penting bagi mereka yang perlu memberi daya tumpuan yang tinggi dalam kerja seharian.

Terdapat juga ubat yang mengandungi antihistamin dan dekongestan. Penggunaan dekongestan dikatakan dapat melegakan halangan yang berlaku di kawasan nasal atau hidung. Pemberian agen ini boleh dilakukan secara oral ataupun lokal.

Beberapa ubat yang bertindak sebagai agen dekongestan ialah

1. efedrin,
2. fenilefrin dan
3. fenilpropanolamin.

Ubat-ubat seperti natrium kromolin dan kortikosteroid sering juga digunakan untuk merawat kejadian alahan. Tetapi, penggunaannya perlu mendapat pengawasan dan nasihat yang sewajarnya dari pakar-pakar perubatan!!!

Terdapat banyak produk di pasaran yang digunakan untuk merawat gejala yang timbul yang disebabkan oleh batuk, selsema dan alahan. Secara tidak langsung ini akan menggalakkan masyarakat mengamalkan kaedah swapengubatan untuk merawat penyakit yang mereka alami.

Walaupun terdapat beberapa jenis ubat yang boleh dikendalikan oleh pengguna sendiri, pengguna dinasihatkan agar mendapat maklumat yang betul sebelum menggunakan sesuatu ubat! 

No comments:

Post a Comment