Animated Dragonica Star Glove Pointer

Monday 8 August 2011

Misteri Rakan Sebilik

Minggu suai kenal baru sahaja berakhir. Rata-rata pelajar yang mengikuti program itu cukup berpuas hati dengan aktiviti yang disediakan. Biarpun sedikit penat namun kepuasan jelas terpancar di wajah setiap peserta kerana berpeluang mengenali dengan lebih dekat antara satu sama lain.

Kemeriahan pagi itu turut dirasai oleh Quratul serta tiga rakannya. Biarpun baru dua minggu di Institusi Pengajian Awam (IPTA) itu namun kemesraan seperti sudah lama terjalin antara mereka sekalipun berada di fakulti yang berbeza. 

Nasib Quratul sedikit baik kerana diberi bilik yang memuatkan dua penghuni sahaja sedangkan tiga rakannya terpaksa tinggal di bilik yang menempatkan empat penghuni. Malam itu Quratul meneruskan rutin hariannya dengan mengemas buku sekali gus memastikan segala tugasan yang diberikan pensyarah telah disiapkan sepenuhnya. Sekali-sekala matanya melirik tajam ke arah jam di dinding yang berdenting selama 12 kali.

"Hai, dah pukul 12 pun tak balik-balik lagi minah sorang ni. Orang lain pun study jugak tapi tak la macam dia ni, sikit punya susah nak jumpa. Agaknya kalau aku berlaga bahu dengan dia, confirm tak perasan punya sebab muka dia pun aku tak tahu macam mana, harap nama aje yang aku tahu," gumam Quratul di dalam hati.

Keheningan suasana malam makin dirasai. Mata Quratul bertambah layu, penat dan minta untuk direhatkan. Dia kemudiannya berlalu perlahan-lahan ke katil untuk melunaskan permintaan mata. Dua jam kemudian, Quratul sedikit tersentak dengan bunyi kuakan pintu dan dalam kesamaran malam itu, dia ternampak sesusuk tubuh seorang wanita sambil menjinjit beberapa buah buku. 

"Apasal balik lambat sangat? Kau pergi mana tadi, penat aku tunggu," sapa Quratul dengan mata yang terpejam. "Aku ada group discussion la sebab esok En. Amran nak buat test. Sorry ya sebab tak inform kau awal-awal," jawab Mira dengan nada yang bersahaja.

Perlakuan Mira dari sehari ke sehari menimbulkan pelbagai persoalan di hati Quratul. Manakan tidak, dia hanya berpeluang berbicara sekali-sekala pada waktu malam sahaja, itu pun apabila dia 'dikejutkan' oleh kepulangan Mira dari mengulang kaji pelajaran atau berjumpa teman-temannya. Hampir satu semester  Mira menjadi roomate Quratul namun tidak sekalipun dia mengenali wajah temannya itu. Timbul keinginan di hati Quratul untuk menyelidik latar belakang temannya dari warden asrama.


"Puan Zaharah, boleh saya tahu siapa roomate saya? Dah nak dekat satu semester dengan dia tapi latar belakang atau wajah dia pun saya tak tau. Rasa misteri sangat sebab dia hanya berbual dengan saya pada waktu malam aje, siang memang tak sempat sebab dia pergi kuliah awal," ujar Quratul dengan panjang lebar.

Tidak lama kemudian Puan Zaharah mengemukakan  jawapan yang cukup memeranjatkan. Katanya selama ini Quratul tidak mempunyai roomate dan dia sebenarnya tinggal seorang diri di bilik itu. Selain itu tiada rekod yang menjelaskan bahawa Mira pernah didaftarkan untuk menginap bersamanya sejak dari awal semester lagi.

Quratul terpaku dengan jawapan yang diberikan. Dia segera menceritakan perkara itu kepada tiga rakan karibnya. Salah seorang dari mereka menjelaskan bahawa peristiwa yang dialami Quratul ada hubung kaitnya dengan kejadian yang berlaku sepuluh tahun lalu di laut berdekatan asrama itu.

Berdasarkan kisah yang didengarnya, ada sepasang kekasih mati lemas di laut berkenaan kerana air pasang. Hanya mayat lelaki yang ditemui manakala pasangannya tidak dapat dikesan. Dipercayai juga wanita itu pernah tinggal di bilik Quratul dan mungkin kerana itu 'dia' masih lagi ada di situ dan menganggap dirinya sebagai salah seorang pelajar di IPTA ini...

TAMAT..... :) 

No comments:

Post a Comment